Kaca Digantikan Dengan Permata

Seringkali kita memohon supaya Allah memberikan pasangan yang baik buat kita. Permohonan tersebut dilakukan melalui doa-doa yang dititipkan selepas solat mahupun di dalam solat istikharah. Bahkan apabila bersembang-sembang dengan ahli keluarga dan teman-teman, kita juga sering menyebut supaya Allah memberikan jodoh terbaik buat kita.


Namun begitu, mengapa ketika majlis yang sedang dirancang tiba-tiba terbatal, ramai yang mudah berputus asa? Sedangkan mungkin ‘putus’ ikatan tersebut bermakna makbulnya doa kita. Allah tidak pernah menzalimi hamba-Nya, tetapi kitalah yang seringkali menzalimi diri kita sendiri.

Adakalanya insan yang kita harapkan untuk menjadi pasangan kita bukanlah pasangan yang terbaik untuk kita. Jika sejuta kali nyawa diberikan, andainya Allah tidak menciptakannya untuk kita, tidak mungkin akan menjadi milik kita walau sedetik.

Firman Allah :
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” – Al-Baqarah : 216.

Andainya berlaku perkara sebegini, ia bukan suatu perkara yang mudah untuk dilalui. Ramai orang yang ‘terbabas’ apabila dilanda masalah sebegini. Sesetengahnya terpaksa mengambil masa berbulan lamanya untuk mengubat kelukaan hati. Tidak kurang juga yang merasakan mereka telah hilang kebahagiaan sehingga terpaksa dibawa menghuni hospital bahagia.


Saya pernah melihat sendiri seorang teman yang dulunya sangat jahil tentang aurat, kini, Subhanallah..! Indah tertutup..! Terkaku saya mendengar butir cerita dari mulutnya sendiri. Menitis juga air mata gembira. Tidak sangka, gadis sesopan beliau pernah cuba membunuh diri kerana putus cinta..! Selepas itu, keluarga menghantar beliau ke pondok. Setelah 2 tahun di sana, beliau akhirnya dilamar seorang jejaka yang cukup tawadhuk, wara’ dan penuh ilmu agama di dadanya.

Inilah yang dikatakan rahmat Allah kepada kita. Andainya suatu ketika, hati kita pernah hancur bagaikan kaca yang dibaling batu, tanpa disedari, Allah telah menyediakan permata berharga untuk kita.

Allah tidak pernah mengecewakan hamba-Nya, bahkan Allah selalu memberikan rahmat kepada kita. Rahmat yang terlalu banyak ini selalunya jarang disedari dan disyukuri.

Buat sahabat yang pernah kecewa kerana cinta,
Sesungguhnya cinta kepada manusia itu tidak kemana, tetapi cinta Allah itulah yang hakiki. Andainya kita merasakan kebahagiaan dalam hidup ini datangnya daripada cinta kita kepada manusia semata-mata, maka, bersedialah menghadapi kekecewaan.



p/s : Dan saya juga tidak sedikit pun kecewa. Kerana kini, Allah mengurniakan permata yang amat bernilai buat saya. Moga hubungan kami diredhai-Nya. Allahumma ameen.

1 comments:

Anonymous said...

awal yang baik

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Back to Top