MENCARI JODOH
Jodoh pertemuan telah ditentukan oleh Allah s.w.t. , namun kita sebagai manusia diperintahkan agar berusaha, berikhtiar dan berdoa supaya di kurniakan oleh Allah s.w.t. dengan pasangan yang baik dan solehah. Setelah usaha dilakukan dengan bersungguh-sungguh barulah menyerahkan perkara tersebut kepada Allah s.w.t., terpulang kepadaNya samada mahu diperkenankan ataupun sebaliknya.
Bukan sedikit dari kalangan masyarakat kita yang hanya menunggu-nunggu ketentuan dan ketetapan dari Allah s.w.t. tanpa disertakan dengan usaha dan ikhtiar. Mereka ini samalah dengan manusia yang hanya menunggu-nunggu rezeki datang bergolek atau terbang melayang di hadapan mata tanpa di sertakan dengan usaha dan ikhtiar.
Manakala mereka yang sibuk berusaha mencari jodoh pula tidak kurang juga yang melakukan pelbagai kesilapan. Bukan hanya dari sudut agama tetapi kemanusiaan dan kemasyarakatan. Baik dari pihak lelaki mahupun perempuan.
Pihak lelaki (bukan semua) lebih cenderung memilih calon isteri yang mempunyai rupa paras yang menarik, pandai bergaya dan bersolek ketika berada di luar rumah, lincah gerak lakunya, luas pergaulannya, berpemikiran moden atau tidak kekampungan dan sebagainya. Perempuan yang berhijab atau bertudung menutup aurat dan kuat beribadat dianggap kuno dan amat memalukan. Yang tidak tahu keluar rumah untuk bekerja atau bersosial dipandang sebagai gadis pingitan yang tidak punya tempat di mata masyarakat hari ini. Dan yang sentiasa melakukan tindakan berlandaskan al-Quran dan al-Hadis dikatakan ingin kembali ke zaman unta.
Manakala pihak perempuan pula tidak kurang hebatnya. Calon suami mestilah yang berharta, berpangkat, punya kedudukan dan nama, berkelulusan tinggi, segak bergaya dengan pakaian yang mahal-mahal dan kalau boleh mempunyai kenderaan yang semewah mungkin.
Mereka lebih mengutamakan nafsu mereka terhadap mata benda dunia dan membelakangkan agama. Dengan ini, samada sedar ataupun tidak, mereka telah menjerumuskan rumahtangga yang akan dibina ke arah kehancuran. Sekalipun tidak hancur ia akan sentiasa diburu oleh kegelisahan dan ketidakselesaan hidup. Dan apabila manusia berebut-rebut mengutamakan kebendaan dan membelakangkan agama, maka nantikanlah wujudnya sebuah generasi yang tidak mengenal Allah s.w.t. dan Rasulullah-Nya.
KESAN MELETAKKAN HARTA SEBAGAI SYARAT UTAMA
Pemilihan jodoh dengan meletakkan material sebagai syarat pertama dan agama sebagai yang terakhir akan mengakibatkan beberapa perkara yang tragis, iaitu :
Menyebarluaskan lagi penyembahan material.
Keadaan ini kerana masyarakat Islam menjadikan material sebagai lambang kebahagiaan walaupun hanya palsu semata-mata. Manakala agama pula dianggap ketinggalan zaman. Bahkan lebih dahsyat dari itu, agama dianggap sebagai puaka yang amat menakutkan dan menyeramkan. Akal fikiran mereka sentiasa dihantui dengan anggapan bahawa apabila menjadi isteri kepada lelaki yang kuat agamanya, nescaya dirinya akan terkongkong dalam lingkungan yang amat sempit sekali. Tidak boleh berhias, bergaya, bekerja dan bergiat dalam segenap lapangan. Tugasnya hanya di dapur, melahirkan dan mendidik anak-anak.
Bukan sedikit yang saya dengar dari kalangan wanita-wanita Islam yang menganggap bahawa mendidik dan memelihara anak adalah satu bebanan. Mereka lebih rela bekerja seberat mana sekalipun dari menjaga dan mendidik anak-anak. Perasaan kasih sayang sepenuh hati dan sifat keibuan telah ditarik oleh Allah s.w.t. dari sebahagian wanita-wanita Islam. Lihat saja! Bagaimana kes membuang anak begitu berleluasa terjadi di negara kita ini.
Akan menjejaskan institusi kekeluargaan sesebuah masyarakat.
Penceraian mula meningkat dari hari ke hari. Di samping itu terlalu banyak rumahtangga yang sedang menanti giliran untuk runtuh.
Akibat membelakangkan akhlak ketika memilih calon, maka si isteri atau si suami menanggung derita berpanjangan. Kini, bukan hanya suami dari kalangan orang-orang awam bahkan tokoh masyarakat, ahli politik dan pak menteri telah terjebak dengan beberapa kegiatan yang kurang sihat seperti judi, rasuah, perzinaan dan sebagainya. Mengadakan hubungan dengan pelacur sudah menjadi suatu yang lumrah bagi suami-suami yang tidak beragama. Si isteri pula, lebih terdedah kepada perangkap lelaki-lelaki hidung belang samada di majlis-majlis sosial atau di tempat kerja.
Antara alasan-alasan yang sering diberikan oleh isteri-isteri ini ialah mereka sering ditinggalkan oleh suami kerana urusan perniagaan, mereka tidak mendapat kepuasan seks bersama suami atau sebagainya. Namun bagi saya semuanya itu adalah alasan yang terlalu rapuh dan tidak boleh dipakai sama sekali. Pada hakikatnya, mereka telah membelakangkan agama. Seandainya orang yang beragama mengalami masalah yang sama, sudah pasti mereka tidak memilih jalan dosa dan noda ini.
Melahirkan keturunan yang rosak moral dan kurang agamanya.
Ibubapa yang baik akan mendidik anaknya ke arah kebaikan. Sebaliknya, ibubapa yang kurang agama akan mendidik anaknya ke arah yang tidak dikehendaki oleh Islam, walaupun menurut kacamatanya ia adalah kebaikan. Bahkan berkemungkinan anak tersebut akan dua kali ganda lebih buruk agamanya dari ibubapanya sendiri.
Justeru, asas perkahwinan yang bagaimanakah yang paling membahagiakan? Semua perkahwinan mengharapkan kebahagiaan, tetapi berapa orangkah yang dapat menikmati bahagia? Apakah asas perkahwinan yang membuahkan kebahagiaan berpanjangan?
- Jika asas perkahwinan adalah kerana seks, maka pasangan akan selalu bertengkar jika suasana di bilik tidur tidak memuaskan.
- Jika asas perkahwinan adalah kerana harta, maka pasangan bakal bercerai jika ekonomi dalam rumah tangga merudum dan muflis.
- Jika asas perkahwinan kerana kecantikan wajah dan tubuh badan, pasangan akan lari apabila rambut beruban, muka kerepot atau badan jadi gendut.
- Jika asas perkahwinan kerana anak, maka pasangan akan mencari alasan untuk pergi jika hati (anak) tidak hadir.
- Jika asas perkahwinan kerana keperibadian, pasangan akan lari jika orang berubah tingkah lakunya.
- Jika asas perkahwinan kerana cinta, hati manusia itu tidak tetap dan mudah terpikat pada hal yang lebih baik, tambahan pula manusia yang dicintai pasti mati atau pergi.
- Jika asas perkahwinan kerana ibadah kepada Allah, sesungguhnya Allah itu kekal dan Maha Pemberi Hidup kepada makhluk-Nya. Allah mencintai hamba-Nya melebihi seorang ibu mencintai bayinya. Maka, tidak ada alasan apa pun di dunia yang dapat meretakkan rumah tangga kecuali jika pasangan menderhakai Allah.
Dari sudut Islam, perkahwinan adalah satu ibadah. Kerana ia ibadah yang disyariatkan oleh Islam, maka ia harus dilaksanakan dengan sempurna dan mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan. Pelaksanaan secara sempurna adalah satu tuntutan agama.
Perkahwinan adalah merupakan satu ibadah suci yang termaktub dalam al-Quran dan hadith-hadith Nabi. Dalam perkahwinan itu sendiri mengandungi banyak hikmah dan keistimewaan. Maka sesiapa yang mampu melaksanakannya dengan sempurna, maka ia dan pasangannya akan mendapat ganjaran.
Dalam surah ar-Rum ayat 21, Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”
Maka jelas sekali bahawa tujuan perkahwinan itu bukan untuk seronok-seronok atau sekadar melepaskan rangsangan hawa nafsu, tetapi ialah untuk melahirkan pertalian kasih sayang bagi kedua pasangan. Kasih sayang di sini ialah kasih sayang yang sejati dan abadi, dari usia muda sampai ke usia tuanya.
Kalau kita cermati ayat di atas, kita memperoleh kesimpulan bahawa tujuan perkahwinan itu setidak-tidaknya ada 3 hal :-
· Untuk menunjukkan kekuasaan Allah.
· Agar tercipta ketenteraman.
· Untuk membangun kasih sayang.
Inilah salah satu cara Allah membahagiakan hamba-hambaNya. Melalui jalan perkahwinan. Kerana itu Rasulullah pernah menyampaikan bahawa rumah tangga beliau itu bagaikan syurga bagi beliau. Baiti jannati – rumahku adalah syurgaku.