0

Duhai hati yang rebah, inilah ujian Allah!


Duhai hati,

"Apakah manusia mengira bahawa dia sudah beriman, padahal dia belum diuji?"

Semakin Allah sayangkan hamba-Nya, semakin kuat dugaan yang diterima. Seberat-berat manusia yang diuji bukankah Rasulullah? Sedangkan baginda merupakan Habibullah, kekasih-Nya!


Sabar itu dicintai Allah. Nabi berpesan, bahawa sabar itu sebahagian daripada iman. Iman bukankah padanya 'kepada Allah'? Justeru, sabar memupuk kita kembali kepada Allah.


Kenapa masih bersedih, duhai hati? Bukankah Allah juga mencatatkan ‘Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan’. Maka, redhalah duhai hati. Jika redha itu semudah melakarkan harapan, sudah pasti hati menerimanya tanpa sebarang ragu. Dengan 1001 senyuman. Juga dengan sejuta kebahagiaan.


Tapi, ujian itu milik Allah. Jika kita rebah, kita akan kembali kepada-Nya. Kita merintih, kita memohon, kita meminta kepada-Nya. Seribu kali kita rebah, seribu kali kita mampu bangkit. Bangkitnya kita kerana taqarrub. Bangkitnya kita kerana sabar. Acapkali kita diingatkan, Allah itu lebih dekat daripada urat leher kita. Ya Allah, lalainya kita!


Bukankah selangkah kita mendekati Allah, sepuluh langkah Allah akan mendekati kita? Maka, berdoalah moga dipermudahkan urusan hati. Tidak kira betapa sukarnya, ingatlah Allah, berdoalah kepada-Nya. Bermuhasabahlah! Moga kasih-sayang Allah sentiasa bersama.


Bersyukurlah andai urusanmu mudah kerana mudah itu merupakan nikmat Allah bagimu, agar kau merasai kurnia-Nya. Kasih sayang-Nya. Disyukuri dengan segenap ruang rasamu.


Bersyukurlah andai urusanmu sukar,  kerana Allah ingin mengujimu.  Allah inginkanmu merintih kepada-Nya. Dan Allah ingin memberikanmu peluang. Peluang untuk menimba pengalaman yang mematangkan. Allah inginkanmu sentiasa bersama-Nya.


Saya dewasa kerana ujian. Saya matang kerana dugaan. Saya bangkit kerana kepahitan. Seringkali diri diuji. Ujian kali ini, saya tidak mampu lagi. Ya Tuhan...


0 comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Back to Top